Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan aku begitu berasa teruja untuk mencoretkan sesuatu buat dirimu yang belum pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya ku khususkan buatmu tapi belum tiba masanya.
Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lena ku yang panjang. Aku telah dididik oleh ibuku sejak kecil supaya menjaga maruah dan mahkota diri ku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu “tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki yang bernama suami mengambil alih tanggungjawab itu dari kami”. Jadi kau telah wujud di dalam diriku sejak dulu lagi.
Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selain dirimu,apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan mahramku. Aku lebih bersifat perumah kerana rumah itu tempat terbaik bagi wanita.
Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap mereka, tetapi aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka,akanku palingkan mukaku daripada lelaki yang asyik merenungku atau cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada mana-mana lelaki ajnabi kerana Saiditina Aisyah berpesan ”sebaik-baik wanita itu tidak dipandang dan tidak memandang”.
Aku tidak ingin dipandang cantik oleh mana-mana lelaki. Biarlah aku cantik hanya dimatamu. Apa guna aku menjadi idaman lelaki jika aku hanya menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan ramai lelaki bahkan , merasa terhina diperlakukan begitu, seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.
Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki lantaran mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan ku jawab dihadapan Allah kelak,andai disoal. Adakah itu sumbangan aku kepada manusia selama aku menghuni bumi ini?
Kalau aku tidak ingin kau memandang wanita lain,aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghiaskan peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi wanita yang baik. Bukankah Allah telah menjadikan wanita yang baik untuk lelaki yang baik?
Tidak ku nafikan sebagai seorang remaja, aku memiliki perasaan menyanyangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima perasaan dan hatiku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan orang lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih sayang yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.
Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mula berkenalan denganku. Aku secara keras menolak,berbagai-bagai dalil aku kemukan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti disita,dia sentiasa mengganggu dan menghubungiku. Aku berasa tidak tenteram, seolah-olah seluruh kehidupanku yang sebelum ini ceria dirampas dariku.
Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon keampunaNya. Aku juga memohon agar dia melindungi ku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku sentiasa memikirkanmu. Kuraskan seolah-olah kau wujud bersamaku. Dimana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu.
Ku tahu,lelaki yang melamarku bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati ’Woman intuation’ ku, lelaki itu bukan dirimu. Aku bukanlah gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapakah diriku ini yang ingin memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud dimana-mana.
Namun, aku juga seperti gadis lain yang punya keinginan untuk dilamar lelaki yang bakal dinobatkan sebagai ahli syurga, memimpin kearah tuju yang satu iaitu menuju kejalan Allah. Tidak perlu kau setampan Nabi Yusuf a.s yang mampu mendebarkan hati jutaan wanita untuk membuat ku terpikat. Andai kau ialah jodoh yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan, itulah janji Allah.
Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan sah, selagi itulah kau jangan zahirkan perasaan itu kepadaku kerana kau belum berhak untuk berbuat demikian. Juga, jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syara’.
Aku takut perlakuan itu akan memberi impak tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfakkan seluruhnya dalam mencari keredhaan Allah. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri atau sandaran perjuanganmu dijalan Allah. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi , sekiranya aku ditakdirkan meniup semangat juanganmu , menghulurkan tangan untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur dimedan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.
Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Aku pasti berendan air mata darah seandainya kau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku. Bukan itu yang aku impikan.Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah, kau akan mencintai aku keranaNya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta insan biasa. Moga cintamu itu juga akan mempertemukan kita kembali di syurga.
Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan oleh ibu bapaku yang dulu. Apa guna harta yang menimbun sekiranya harta itu akan membuatkan aku dan kau lupakan akan tanggungjawab kita. Aku tidak akan sekali-kali bahagia jika terjadi sebegitu. Biarlah kita hidup mewah dibawah jaminan Allah sepenuhnya kerana itu lebih bermakna bagiku. Dan tentu akan lebih bahagia jika Allah mengurniakan kau untuk mencintaiku semata-mata keranaNya. AKU MENANTIMU DAN MENGHARAPKAN KAU JUGA MENCINTAIKU..AKU DOAKAN MOGA KITA DISATUKAN BERLANDASKAN CINTA BERSAMANYA,UNTUKNYA DAN KERANANYA..AMIN..
-An Unknown writer-